Hasil diagnosis daripada bekam dapat dilihat daripada warna pigmen kulit setelah pembekaman dilakukan. Dalam buku “Canon of Internal Medicine” menyatakan, “Keadaan organ dalaman dapat diketahui dengan cara memerhatikan gejala-gejala luaran dan tanda-tanda fizikal, sehingga penyakit dapat dikesan”.
Kesan-kesan Yang Boleh Dilihat Selepas Bekam:
- Bekas bekam yang timbul berwarna merah cerah, biasanya ini menunjukkan peredaran darah yang baik.
- Bekas bekam yang timbul berwarna merah gelap, ini memberi petunjuk keadaan lemak di dalam darah yang tinggi dan peredaran darah kurang baik.
- Bekas bekam yang timbul berwarna ungu kegelapan atau hitam. Pada umumnya keadaan ini memberi petunjuk kekurangan pembekal darah dan pembuluh darah tidak lancar yang disertai bersama-sama darah beku, peredaran darah sangat lemah.
- Bekas bekam yang timbul dilihat berbentuk bintik-bintik ungu yang tersebar dengan tahap warna yang berbeza darah beku, darah bertoksin yang tersekat.
- Bekas bekam yang timbul berwarna ungu akan disertai dengan plaque (bercak-bercak), pada umumnya hal ini menandakan terjadinya gangguan atau kelainan gumpalan darah yang berwarna keunguan dan adanya darah beku.
- Adanya lepuhan/lecur pada bekas bekam (blister), menggambarkan keadaan gangguan gas yang parah pada tubuh. Adanya darah tipis pada lepuhan merupakan reaksi gas panas toksin.
- Bekas bekam yang muncul berwarna agak pucat atau putih dan tidak hangat ketika disentuh, ini memberi petunjuk terjadinya sejuk (cold).
Begitu juga, sekiranya muncul wap air pada dinding bahagian dalam gelas bekam, ini menandakan adanya gas-gas patogen pada kawasan tersebut.
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.
[Riwayat al-Tirmizi, kitab jual beli, bab rukhsah pembekam, no. Hadith 1199]
Kesan-kesan Pada Kulit Selepas Bekam Menurut Pandangan Sains
Ketika tekanan negatif (penyedutan) dikenakan kpd permukaan kulit selama 3-5 minit, tindakbalas biokimia yang berlaku menyebabkan peningkatan kadar tapisan dan kebolehtembusan dinding-dinding kapilari (pori-pori dinding kapilari melebar), membolehkan sejumlah cecair mengandungi bahan-bahan punca penyakit (CPS) seperti mediator-mediator radang, buangan metabolik (asid urik, kreatinin, kolesterol dan lain-lain), auto antibodi, radikal bebas dan sebagainya diasingkan dan dikumpul bersama cecair interstitial di ruang antara sel (interstitial).
Pengumpulan sejumlah cecair ini boleh kita lihat melalui permukaan kulit yang membenjol. Namun harus diingat pada ketika ini juga sejumlah kapilari pecah dan membebaskan sejumlah darah ke dalam ruang interstitial. Darah ini termasuklah sel-sel darah merah akan kehabisan oksigen lalu mati menjadi bangkai. Pengumpulan sel-sel darah merah yang mati dicelah-celah tisu ini boleh kita lihat melalui warna permukaan kulit yg disedut bertukar merah gelap atau kehitaman.
Anda tidak perlu risau akan kesan penyedutan itu sebab ada manfaat kesihatan di sebalik tanda “jelek” berkenaan. Sel-sel darah merah yang mati akan ditelan dan dihadam oleh macrophage (sejenis sel darah putih). Proses ini menyebabkan terhasilnya sejenis enzim iaitu HO-1 (Heme Oxygenase 1) di mana ia akan digunakan untuk menguraikan “heme”(molekul yang mengandungi zat besi yang membolehkan sel darah merah mengangkut oksigen) yang terdapat di dalamnya.
Hasilnya terbentuklah biliverdin, bilirubin, carbon monoksida dan lain-lain yang mempunyai kesan-kesan antiradang, antioksida dan antiproliferatif yang boleh menyumbang kepada kawalan atau pencegahan penyakit kanser atau penyakit berkaitan radang selain faedah-faedah terapeutik yang pelbagai seperti pembentukan pembuluh-pembuluh darah baru (angiogenesis), pengaktifan fibroblast yang merembes lebih kolagen dan elastin untuk ketegangan atau kecantikan kulit dan sebagainya.