Strok, kadangkala dipanggil juga sebagai “serangan otak“, berlaku apabila sesuatu seperti darah beku menghalang bekalan darah ke bahagian otak (Ischemic stroke) atau apabila saluran darah di otak pecah (hemorrhagic stroke ). Dalam kedua-dua kes, bahagian otak yang terlibat menjadi rosak atau mati. Strok boleh menyebabkan kerosakan otak yang berpanjangan, hilang upaya jangka panjang seperti lumpuh separuh badan, kesukaran bertutur, masalah ingatan bahkan kematian.
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
حجمَ أبو طيبَةَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ ، فأمرَ له بصاعٍ من تمرٍ ، وأمَرَ أهلَهُ أن يخفِّفُوا من خراجِهِ
Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.
[Riwayat al-Bukhari, kitab jual beli, bab penjelesan tentang pembekam, no.Hadith 1960]
Kesan Stroke
Faktor risiko utama strok adalah tekanan darah tinggi dan kencing manis di mana faktor-faktor ini masih boleh dikawal melalui amalan cara hidup sihat atau pengambilan ubatan tertentu daripada doktor perubatan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa terapi bekam keatas sejumlah pesakit strok juga berupaya memperbaiki fungsi motor selain meningkatkan kualiti hidup, sesuai sebagai pendamping kepada rawatan konvensional.
Berdasarkan meta-analisa dan systemic review oleh T. Shau et al 2023, terdapat 8 kajian (RCT) yang menunjukkan bahawa terapi bekam basah berupaya mengurangkan tahap kekakuan otot keatas sejumlah pesakit strok yang mengalami kekakuan anggota tubuh atas (lengan atas). Data-data ini diperolehi melalui ujian Ashworth Scale Score, Integral Electromyography Values Of Biceps Muscle, Fugl-Myer Assessment Score & Barthel Index Score yang dilakukan sebelum dan selepas terapi bekam. Meta-analisa & systemic review oleh M.Kim et al 2021 mendapati 21 kajian kesan terapi bekam melibatkan 1653 pesakit strok daripada tahun 2000 hingga 2021.
Secara umumnya kajian-kajian ini menunjukkan bahawa terapi bekam berupaya memperbaiki fungsi motor, termasuk tona otot dan mengurangkan tahap kekakuan (spasticity) sejumlah pesakit strok. Terdapat juga sebahagian daripada kajian-kajian itu yang menunjukkan tentang keupayaan terapi bekam dalam mengurangkan tahap keterukan komplikasi post-stroke yang lain seperti meningkatkan kualiti tidur yang terjejas, meningkatkan fungsi kognitif/ingatan, mengurangkan edema pada tangan dan sebagainya.
Tujuan utama terapi bekam pada kes post-stroke adalah untuk meningkatkan semula sirkulasi darah pada bahagian tubuh atau otak yang terjejas agar tahap kekakuan atau ketegangan/kontraksi berterusan otot termasuk kesakitan dapat dikurangkan seterusnya memperbaiki fungsi motor pada otot-otot yang terlibat.
Penyingkiran bahan punca penyakit atau bahan berkaitan penyakit melalui bekam basah seperti glutamate umpamanya boleh menurunkan risiko kerosakan kekal otak selain menurunkan risiko pelbagai penyakit lain. Selain terapi bekam, pengambilan diet tinggi protein dan “lemak baik” selain terapi fizikal (fisioterapi) juga perlu untuk membantu proses rehabilitasi dikalangan pesakit post-stroke.
Jenis-jenis Strok Yang Anda Perlu Tahu
Terdapat dua jenis strok yang anda perlu tahu dan bezakan.
1. Strok Berdarah
Ia turut dikenali sebagai Haemorrhagic Stroke, satu keadaan di mana saluran arteri atau pembuluh darah di otak pecah kemudian menyebabkan pendarahan berlaku.
Apabila keadaan ini terjadi, darah akan meresap masuk ke dalam tisu otak, menyebabkan kerosakan kepada sel-sel lain yang terdapat pada otak.
Apabila ini terjadi, otak gagal berfungsi dengan normal.
2. Strok Iskemia
Strok jenis ini berlaku apabila saluran darah menjadi sempit kerana kandungan kolestrol dan sisa-sisa lain.
Ketulan-ketulan ini menyebabkan gangguan perjalanan darah kepada bahagian otak.
Simptom Strok
Lain jenis strok, maka lain juga gejalanya terhadap seseorang.
Di antara simptom yang boleh dirasai jika seseorang mengalami strok adalah:
- Berasa kebas atau lemah secara tiba-tiba pada muka, lengan atau kaki, terutamanya jika ia berlaku pada sebelah bahagian badan sahaja.
- Daya ingatan yang semakin berkurang.
- Sukar untuk bercakap dan kurang memahami apa yang diperkatakan.
- Sukar untuk menelan makanan dan minuman.
- Kurang sedar, pengsan dan keliru.
- Sukar untuk melihat dengan sebelah mata atau kedua-duanya.
- Tidak stabil apabila berjalan dan hilang keseimbangan badan.
- Kelopak mata menjadi layu.
Bagaimanapun terdapat tambahan gejala bagi individu yang menghidap strok pendarahan.
Ia diakibatkan oleh tekanan di tengkorak kepala secara mendadak.
- Sakit kepala secara tiba-tiba dan semakin teruk.
- Loya dan muntah.
- Sakit di leher.
Maka adalah penting untuk anda segera mendapatkan rawatan doktor jika menyedari gejala ini pada diri sendiri.